Zizie Izette Mengaku Terima Wang Pengenalan RM2.8 Juta

Uncategorized

Mahkamah Sesyen di sini diberitahu, Datin Seri Zizie Izette A. Samad pernah memaklumkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beliau menerima wang pengenalan RM2.8 juta kerana bertindak sebagai ‘introducer’ berhubung pelaburan Felcra dalam unit amanah Public Mutual.

Penguasa Kanan Mohd. Haris Ibrahim, 42, yang juga saksi pendakwaan ke-27, berkata, Zizie Izette menyatakan wang pengenalan itu diterima daripada ejen pelaburan, Norhaili Ahmad Mokhtar.

Beliau yang juga pegawai penyiasat kes bagaimanapun memberitahu tidak mengingati berapa kali Zizie Izette memaklumkan demikian ketika SPRM merakam percakapannya pada Julai 2016 bagi membantu siasatan kes rasuah suaminya, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Pada perbicaraan lalu, Norhaili yang juga perunding unit amanah memberitahu mahkamah, pelakon itu layak mendapat wang pengenalan RM2.8 juta selepas Felcra bersetuju melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Foto: Utusan

Norhaili, 45, berkata, Zizie Izette yang juga kenalannya berhak mendapat wang tersebut selepas memperkenalkan beliau kepada suaminya yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra dan seorang lagi pegawai kanan agensi tersebut.

Norhaili menjelaskan, sebanyak RM2.2 juta dibayar secara tunai di Public Bank Taman Melawati manakala selebihnya kira-kira RM800,000 dipecahkan dalam bentuk pelaburan yang dibayar semula ke dalam akaun unit amanah Public Mutual milik Zizie Izette.

Dalam keterangannya hari ini, Mohd. Haris turut berkata, dia tidak mengetahui sama ada Norhaili dan seorang lagi ejen pelaburan, Madhi Abdul Hamid berada dalam tekanan ketika memberi percakapan bagi membantu siasatan.

Menurut saksi, beliau bagaimanapun mengetahui kedua-duanya dipanggil sebagai saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah Bung Moktar dan isterinya.

Ketika disoal balas oleh peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Zizie Izzete, beliau bersetuju bahawa mereka memberi keterangan berdasarkan percakapan lanjut yang diberikan kepada SPRM pada Februari 2021.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How pada sesi pemeriksaaan semula, Mohd. Haris berkata, percakapan Norhaili dan Madhi dirakam sebanyak enam kali.

Ujarnya, sepanjang siasatan, beliau merakam percakapan sejumlah 24 individu ketika bertugas di Ibu Pejabat SPRM sehingga 2017 sebelum berpindah ke Melaka dan tugas pegawai penyiasat diambil alih oleh pegawai lain.

Ujarnya, pihak SPRM pada asalnya merakam percakapan pasangan suami isteri itu sebagai saksi mengikut Seksyen 30(3) Akta SPRM 2009 kerana ketika itu tangkapan belum dilakukan.

Menurut Mohd. Haris, beliau telah melengkapkan kertas siasatan dan mengemukakan syor kepada bahagian pendakwaan agar Bung Moktar dan Zizie Izette didakwa di mahkamah.

Pada akhir prosiding, Chin How memohon perbicaraan disambung pada tarikh yang telah ditetapkan bagi membolehkan pihak pendakwaan mendapat arahan lanjut sama ada untuk memanggil pegawai perakam memberi keterangan.

Jika tiada lagi saksi akan dipanggil, pihak pendakwaan akan menutup kes pada hari tersebut. Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung 17 Mei ini.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bers4lah atas dua pertvduhan menerima r4suah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500.

Rasuah itu sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar, selaku Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, ditvduh menerima r4suah daripada Madhi menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Tertuduh juga did4kwa menerima su4pan wang tunai untuk dirinya sebanyak RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab yang sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette pula mengaku tidak bers4lah atas pertvduhan bersub4hat dengan suaminya melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh yang sama.

Sumber: Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published.