Arja Lee Kini Pensyarah, Ambil Keputusan Tinggal Dunia Seni

Uncategorized

Sejak bergelar pensyarah di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), pelakon Arja Lee mengambil keputusan meninggalkan bidang seni bagi membolehkan dia memberi tumpuan kepada karier barunya.

Arja atau Azharudin Ramli, 39, berkata, dia tidak mahu lagi terbabit dalam dunia glamour sebagai seorang selebriti dan lebih tenang menjalani kehidupan tanpa sebarang kontroversi di Kelantan.

“Alhamdulillah saya selesa dengan kehidupan saya sekarang, ada pekerjaan tetap dan paling penting ada pendapatan bulanan yang tak perlu saya risau setiap bulan.”

“Dekat sini saya mahu menjalani hidup tenang dan bebas daripada sebarang kontroversi sebagai seorang selebriti.”

“Disebabkan itu, saya mengambil keputusan tinggalkan bidang seni buat masa ini bagi memberi tumpuan kepada tanggungjawab sebagai seorang pensyarah yang turut memerlukan komitmen tinggi,” katanya.

Arja berkata, dia semakin seronok dan selesa menetap di Kelantan memandangkan kos sara hidup yang jauh lebih rendah berbanding di Kuala Lumpur.

Kehidupannya bukan sahaja lebih sederhana tetapi tenang tanpa sebarang gangguan selain tidak lagi memikirkan kehidupan glamour sebelum ini.

“Kos sara hidup di Kelantan lebih rendah dan saya tidak lagi perlu memikirkan hal-hal berkaitan dunia hiburan. Fokus saya sekarang adalah terhadap pekerjaan sebagai pensyarah dan mendidik anak bangsa,” jelasnya.

Dalam pada itu, Arja berkata, bekerja sebagai pensyarah bukan kebetulan tetapi sejak dahulu lagi dia memang menyimpan impian untuk bergelar seorang pendidik.

Kata Arja, dia bersyukur impian melanjutkan pengajian seterusnya diterima sebagai pensyarah terlaksana dan akan menggunakan ilmu dan pengalaman sebagai pelakon sebelum ini untuk dicurahkan kepada pelajar di universiti.

Dalam perkembangan lain, Arja memberitahu bakal menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) tidak lama lagi.

Arja Lee juga baharu sahaja menamatkan pengajian di peringkat Sarjana Pengajian Persembahan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Sumber : mStar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *