Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida atau lebih mesra disapa DSV bersyukur rasa takut yang tiba-tiba muncul dalam dirinya menjadi penghalang beliau melakukan pembedahan bariatrik pada 6 tahun lalu.
DSV atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 51, berkata, dia juga sudah membayar kira-kira RM33,000 sebagai wang pendahuluan untuk melakukan pembedahan itu.
“Namun, saya batalkan hasrat pada saat-saat akhir kerana takut walaupun wang pendahuluan sudah dibayar. Saya tiba-tiba tak sanggup nak buat pembedahan.”
“Syukur, Allah masih sayang saya. Ketika itu, saya berhasrat nak buat pembedahan pun sebab teringin nak kurus dan rasa cantik. Ditambah ketika itu, saya juga adalah penaja Gegar Vaganza.”
“Selain itu, saya juga terpengaruh dengan rakan-rakan yang melakukan pembedahan itu. Jadi, saya pun mahu mencubanya. Tapi, mujur akhirnya tak jadi,” katanya.
Menurut DSV, dia akhirnya memilih menggunakan produk keluaran syarikatnya bagi merealisasikan hasrat menurunkan berat badan, selain melakukan aktiviti kecergasan sebagai rutin harian.
“Saya hanya nak amalkan guna produk sendiri. Tak perlu bedah. Tapi, kepada rakan usahawan lain, saya ingatkan agar tidak mengambil kesempatan kepada pengguna sekiranya anda kurus secara pembedahan,” ujarnya.
Sumber : Harian Metro