Lisdawati & Fauzi Nawawi Bersanding Kali Ke-2, Nak Foto Tutup Aurat

Uncategorized

Pelakon, Lisdawati bersama suaminya Fauzi Nawawi naik pelamin dan bersanding buat kali ke-2 kerana mahu merakam foto dalam keadaan menutup aurat.

Lisdawati atau nama sebenarnya Nisdawati binti Nazaruddin, 44, mengakui terkilan apabila foto perkahwinan yang dirakam 15 tahun lalu tidak dapat dikongsi kepada umum kerana masih belum berhijab.

“Saya sudah lama merancang untuk mengambil foto baru. Ketika berkahwin dengan suami 15 tahun lalu, saya masih belum dalam keadaan sempurna. Jadi saya tak dapat kongsikan.”

“Jadi hari ini, sempena meraikan majlis ulang tahun kelahiran yang ke-44, saya buat sekali majlis persandingan.”

“Apa yang penting saya mahukan gambar perkahwinan sebagai kenangan,” katanya.

Lisdawati berkata, dia memilih persalinan berwarna biru lembut bagi ‘majlis pernikahan’ manakala busana songket putih untuk ‘resepsi’.

“Saya buat majlis serba ringkas sahaja, bukan secara besar-besaran. Momen gambar itu yang penting. Saya buat juga video untuk kenangan cucu dan cicit saya nanti.”

“Jadi selepas ini, kalau nak guna gambar perkahwinan saya, boleh guna yang terkini,” ujarnya.

Sementara itu, dia turut berkongsi rahsia kekal bahagia bersama suami meskipun melalui fasa ‘turun naik’ dalam rumah tangga.

“Setiap pasangan yang berkahwin akan melalui fasa yang sama. Apa yang membezakan adalah bagaimana untuk bertahan, bersabar dan berkomunikasi bagi menyelesaikan masalah.”

“Kami tidak berbincang depan-depan. Kalau ada masalah yang memerlukan kami berkomunikasi, saya dan suami akan bercakap menerusi mesej sahaja.”

“Sebelum ini guna SMS. Kalau sekarang guna WhatsApp. Kami elak berjumpa kerana takut akan bertikam lidah.”

“Jadi bila kedua-duanya sudah ‘sejuk hati’, baru kami akan bersemuka,” kongsinya lagi.

Sumber : Kosmo!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *